Monday, August 9, 2010

Isti'zan Dari Ibubapa Walaupun Ke Lapangan Amal

Wajib Meminta Izin Ibubapa Sekalipun Dalam Urusan Agama.

Abu Sa‘id al-Khudri rh berkata: Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah SAW (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?” Dia menjawab: “Ibubapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?” Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau, maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua..."

Kita tidak memiliki pilihan sewenang-wenangnya untuk keluar rumah melainkan perlu terlebih dahulu mendapat izin dan redha ibubapa. Keluar daripada rumah boleh dibahagikan kepada beberapa suasana:

Suasana Pertama:

Kita keluar untuk tujuan yang menyelisihi syari‘at, seperti pergi ke kelab hiburan malam. Tidak perlu meminta izin ibubapa dalam perkara yang sememangnya tidak diizinkan oleh syari‘at. Malah seandainya ibubapa menggalakkannya, kita tidak perlu menuruti galakan tersebut tetapi justeru menasihati dan membetulkan mereka.

Suasana Kedua:


Kita keluar untuk tujuan yang harus, seperti berjalan-jalan di taman atau ke pusat membeli belah. Perlu meminta izin ibubapa dan mencari keredhaan mereka. Seandainya mereka tidak mengizinkan, maka kita tidak boleh keluar dari rumah.

Suasana Ketiga:

Kita keluar untuk tujuan yang selari dan dituntut oleh syari‘at, seperti pergi solat berjamaah, berdakwah dan menuntut ilmu. Kita tetap perlu meminta izin ibubapa dan mencari keredhaan mereka. Seandainya mereka tidak mengizinkan, duduklah berbincang dengan secara lemah lembut dan hikmah untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Mungkin mereka melarang kerana berlaku salah faham atau mereka sendiri menghajatkan sesuatu daripada kita pada saat itu.


Suasana Keempat:

Kita terpaksa keluar disebabkan berlakunya sesuatu yang genting, seperti keluar berjihad apabila musuh tiba-tiba menyerang atau keluar membantu mangsa apabila berlaku kemalangan jalan raya di hadapan rumah. Dalam suasana genting seperti ini, kita hendaklah bersikap bijak dalam menimbang antara dua tuntutan agama, manakah lebih yang lebih patut diberi keutamaan (Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات). Maka dibolehkan keluar tanpa izin dan redha ibubapa dalam suasana yang genting lagi terpencil ini.

Perkara lain yang perlu diperhatikan adalah, sekalipun diizinkan untuk keluar rumah, kita hendaklah memerhatikan sama ada ibubapa memiliki hajat tertentu dalam tempoh pemergian itu. Ini kerana ibubapa, disebabkan oleh sifat kasih sayang yang amat mendalam, lazimnya akan mengizinkan kita sekalipun mereka pada tempoh tersebut menghajatkan sesuatu daripada kita. Justeru jika jelas kelihatan bahawa ibubapa memiliki hajat tertentu, janganlah keluar melainkan dilaksanakan terlebih dahulu apa yang dihajati oleh mereka.



P/S : maka, sekiranya mahu berusrah sekalipun di luar, janganlah sampai berbohong dengan ibubapa atau tidak meminta izin dahulu dari mereka apatah lagi sekiranya ibubapa itu dari kalangan mereka yang juga memahami hakikat dakwah, tarbiyyah. Sesetengah anak muda dan daie kini mengambil remeh persoalan ini kerana ada juga yang telah "mengqiaskan" kisah Ghulam Dakwah dengan Ahli Sihir sama kesnya seperti dirinya dengan ibubapanya. Inilah qias yang dinamakan Qias Ma'al Faariq yang jelas bertentangan dan tiada kaitan langsung kerana ibubapa kita masih muslim, apatah lagi yang berada dalam dakwah.

No comments:

Post a Comment